Pages

^_^ Peraturan dan Rutin Bilik Darjah

Peraturan Bilik Darjah
Entri kali ini kami akan mengupaskan tentang peraturan bilik darjah. Pertama sekali, mari kita sama-sama mengenali apa yang dimaksudkan dengan peraturan. Menurut buku Siri Pendidikan Guru Pengurusan Bilik Darjah karya Haliza Hamzah,Joy Nesamalar Samuel, peraturan membawa maksud kenyataan yang memaklumkan tingkah laku yang boleh diterima di dalam bilik darjah. Selain itu, peraturan juga merupakan satu bentuk peringatan dan autoriti kepada nilai moral murid-murid. Peraturan bilik darjah ini adalah merupakan aspek yang fleksibel dan boleh dibentuk di dalam kelas melalui persetujuan daripada guru dan murid agar pembelajaran dan pengajaran dapat berjalan dengan lancar.

Melalui pengalaman kita sendiri, kita dapat melihat senario perkembangan pendidikan dari bangku prasekolah sehingga ke peringkat sekolah menengah di mana setiap kelas yang kita jalani telah ditetapkan peraturannya dan ada beberapa aspek yang berlainan. Hal ini disebabkan oleh, peraturan yang dibentuk ini ialah berdasarkan keperluan murid di dalam sesebuah kelas. Guru yang berkesan akan membentuk peraturan mengikut keperluan pelajar bagi memastikan murid mendapat pengalaman pembelajaran yang berkualiti tanpa kekangan. Peraturan bilik darjah yang berkesan juga haruslah menghasilkan persekitaran bilik darjah yang kondusif. Peraturan yang dibentuk bukan bertujuan untuk menghukum namun bagi mengurangkan gangguan dan meningkatkan kualiti hasil pembelajaran. Melalui cara inilah pembelajaran dapat dilaksanakan secara teratur dan lancar.

Semasa membentuk peraturan bilik darjah, terdapat beberapa perkara yang guru perlu beri penekanan. Antaranya ialah:
1.   Libatkan pelajar dalam membentuk peraturan di kelas.
* Melalui cara ini amalan demokrasi akan dapat diterapkan di dalam kelas. Murid berpeluang untuk menyatakan pendapat dan buah fikiran di mana pelajar akan berasakan diri mereka sebahagian daripada bilik darjah dan bukan hanya pemerhati. Peraturan yang bermakna dan dipersetujui akan membantu membentuk disiplin yang memberangsangkan.

2. Ayat peraturan haruslah pendek dan senang untuk difahami.
*Ayat yang ringkas akan memudahkan murid untuk memahami mesej yang disampaikan dan mereka tahu apa yang perlu dilakukan.
3.  Hadkan bilangan peraturan kerana peraturan yang terlalu banyak boleh mengelirukan pelajar.
4.   Gunakan istilah yang positif.
*Penggunaan istilah yang positif akan lebih merangsangkan pelajar untuk tidak melakukan kesalahan berbanding penggunaan istilah yang negatif
*Elakkan penggunaan perkataan “Jangan..”
5.   Guru sentiasa mengingatkan murid tentang peraturan yang mesti dipatuhi semasa menjalankan sesuatu aktiviti.
*Peraturan haruslah dilaksanakan dengan konsisten supaya berkesan dan bukan hanya apabila tingkah laku bermasalah berlaku
6.   Gunakan peraturan yang berlainan bagi sesuatu aktiviti yang dijalankan.
7.   Pamerkan peraturan di bilik darjah.
8.  Peraturan bilik darjah haruslah selaras dengan peraturan sekolah dan tidak bercanggah dengannya.
9. Sekiranya peraturan tidak berkesan, guru haruslah membuat penambahbaikkan.
*Guru haruslah sentiasa membuat pemantauan dan meneliti peraturan yang dibentuk agar disiplin pelajar dapat dikawal. Sekiranya peraturan tidak berkesan, guru seharusnya bijak mengubahsuai peraturan supaya dapat digunakan dengan berkesan untuk kepentingan bersama.




Rutin
Rutin juga bertujuan untuk melincinkan proses pengajaran dan pembelajaran, sama seperti peraturan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, rutin membawa maksud pekerjaan atau cara melakukan sesuatu yang telah menjadi kelaziman dan tidak berubah. Manakala, menurut buku Siri Pendidikan Guru Pengurusan Bilik Darjah karya Haliza Hamzah,Joy Nesamalar Samuel, rutin merupakan prosedur atau langkah-langkah yang mesti diikuti oleh murid dalam aktviti yang spesifik mereka di dalam bilik darjah. Rutin ini boleh dibentuk melalui perbincangan antara guru dan murid dan perlu sentiasa diberi peneguhan agar prosedur-prosedur yang ditetapkan akan menjadi amalan di dalam bilik darjah lantas menjadi budaya di sesebuah sekolah.  Rutin yang sistematik akan mewujudkan bilik darjah yang kondusif, semangat kekitaan, menjimatkan masa dan tenaga guru. Rutin ini selalunya diperkenalkan pada awal tahun dan ini akan memberikan gambaran kepada murid bagaimana prosedur di dalam kelas berlangsung.
Terdapat enam rutin yang seringkali diaplikasikan di dalam bilik darjah. Antaranya ialah:
1.   Rutin kelas.
*Giliran murid bertugas mengikut jadual bertugas.


2.   Rutin pentadbiran.
*Prosedur guru mencatat kehadiran, pungutun yuran, laporan   kemajuan murid, kad 001 murid dan kad kesihatan murid.
*Pemulangan buku teks daripada Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT)
3.   Rutin pergerakan murid.
*Cara murid beratur sebelum masuk atau keluar dari kelas dengan tertib dan teratur.
*Perlakuan semasa di kantin, di pusat sumber, di tandas, makmal komputer dan makmal sains.
4.   Rutin pengurusan tugasan.
*Guru membuat persediaan terhadap tugasan atau pembelajaran dan pengajaran.
*Guru memberitahu hasil pembelajaran yang diharapkan kepada murid.
*Guru memantau aktiviti bilik darjah dan menilai pencapaian murid.
5.   Rutin pembelajaran.
*Murid memungut buku latihan, mengagih bahan dan buku.
6.   Rutin interaksi.
*Interaksi antara guru dan murid semasa perbincangan kelas atau kumpulan, membuat ujikaji dan projek. 





^_^ Definisi Pengurusan Bilik Darjah


Terdapat kajian yang menunjukan bahawa pengurusan bilik darjah yang berkesan menyumbang kepada pencapaian akademik yang lebih tinggi. Pengurusan bilik darjah juga merupakan faktor penting dalam mempengaruhi motivasi, tahap penglibatan murid di dalam bilik darjah. Umumnya, pengurusan bilik darjah merujuk kepada kebolehan guru mengawal murid-murid bagi memastikan proses P&P berjalan dengan lancar. 


Guru perlu berusaha
mencegah berlakunya sebarang tingkah laku bermasalah dalam kalangan murid-murid. Guru yang juga digelar Pengurus Bilik Darjah iaitu mengurus rutin bilik darjah, mengurus murid-murid supaya menjalankan tugas mereka mengikut jadual seperti membersihkan bilik darjah, mengurus murid-murid supaya mematuhi peraturan bilik darjah supaya menjadi lebih kondusif untuk aktiviti P&P, mengurus bahan-bahan pengajaran supaya dapat digunakan lebih berkesan & mengurus aktiviti kumpulan.

Mengikut Guey R. Lefroncis (1999), pengurusan bilik darjah merupakan “sesuatu konsep yang komprehensif untuk pelbagai aktiviti guru yang dirancang dengan tujuan memudahcarakan P&P di dalam bilik darjah, merangkumi tindakan disiplin, rutin harian, penyusunan tempat duduk, dan memperuntukkan masa pelajaran”.



Alberto & Trroutman (1986), mendefinisikan sebagai kemahiran guru menguruskan masa, ruang, sumber pembelajaran, peranan dan tingkah laku murid dalam menyediakan suatu iklim yang sesuai untuk pembelajaran.


Richards (1990) mentafsirkan pengurusan bilik darjah sebagai organisasi dan kawalan guru ke atas tingkah laku, pergerakan serta interaksi murid semasa pembelajaran berlangsung supaya pengajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan.



Sanford J., Emmer E. & Clemment B. pula mentafsirkan pengurusan bilik darjah sebagai semua perkara yang perlu dilakukan oleh seseorang guru untuk menggalakkan penglibatan dan kerjasama dalam aktiviti bilik darjah serta membentuk persekitaran yang produktif.






^_^ Bilik Darjah


Pengurusan bilik darjah dan tingkah laku sememangnya sinonim dengan profesion keguruan. Oleh itu, apakah gambaran anda mengenai “bilik darjah”? Adakah ia satu tempat yang menyeronokkan? Adakah satu bilik yang mengandungi meja dan kerusi disusun ikut barisan? Masihkah anda ingat bagaimana guru-guru anda mengurus bilik darjah dan tingkah laku? 

Bilik darjah  merupakan satu tempat yang kompleks dan mempunyai banyak tuntutan. Konsep bilik darjah boleh dilihat dari dua perspektif:

                        1. Satu tempat kerja
                        2. Satu sistem ekologi

Satu tempat kerja
Tempat murid-murid datang ke sekolah untuk belajar dan guru datang mengajar.
 Selain mengajar guru merancang apa yang hendak diajar, menentukan hasil pembelajaran, mengawal aktiviti di dalam bilik darjah, mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selesa, memberikan dorongan, menilai pencapaian murid-murid  dan sebagainya.
 Manakala murid-murid akan memberi perhatian, mengambil bahagian secara aktif, membuat latihan, mematuhi peraturan bilik darjah agar P&P berjalan lancar.

Satu sistem ekologi
 Bilik darjah dianggap sebagai satu persekitaran khas (habitat) iaitu kedua-dua guru dan murid    (penduduk) saling berinteraksi bagi menjayakan proses P&P (terus hidup).
 Sifat saling bergantung sedemikian memerlukan komunikasi interpersonal yang mempengaruhi tingkah laku dan sikap murid terhadap pembelajaran.
Mereka yang berjaya menyesuaikan diri di dalam ekologi ini akan terus berjaya dalam alam persekolahan.